Datum Jelatek sasar kadar penghunian penuh
MD Kamarzan (kiri) memberikan bubur lambuk kepada pengunjung Datum Jelatek Mall sempena bulan Ramadan. FOTO Eizairi Shamsudin
Kuala Lumpur: Datumcorp International Sdn Bhd (DCI) yakin kadar penghunian bagi pusat beli-belahnya, Pusat Beli-Belah Datum Jelatek akan mencapai 95 peratus menjelang akhir tahun ini berbanding 70 peratus sekarang.
Pengarah DCI, Ir Md Kamarzan Md Rais berkata, sekarang pihaknya dalam proses perbincangan dengan beberapa jenama terkemuka yang akan dibuka di Pusat Beli-Belah Datum Jelatek secara berperingkat.
“Datum Jelatek ini masih lagi baru dibuka dan masih belum mencapai kadar penghunian penuh di mana sekarang lebih kurang 70 peratus kedai dibuka.
“Banyak juga kedai-kedai yang masih dalam proses pengubahsuaian dan kami sasarkan suku keempat 2023 dapat mencapai 95 peratus kadar penghunian.
“Kami juga menjalin kerjasama dengan beberapa jenama terkenal lain dan dalam perbincangan untuk membuka rangkaian mereka di Pusat Beli-Belah Datum Jelatek,” katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Memasak dan Agihan Bubur Lambuk dengan kerjasama Temu Jelatek di sini, hari ini.
Menurutnya, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli belah dengan keluasan lebih 500,000 kaki persegi itu, semua peniaga turut serta menawarkan pelbagai promosi dan diskaun sehingga 70 peratus terhadap produk yang dijual.
Sementara itu, beliau berkata, sempena bulan Ramadan, Pusat Beli-Belah Datum Jelatek pertama kali menganjurkan program memasak dan agihan bubur lambuk dan akan menjadikan acara itu sebagai program tahunan.
Md Kamarzan berkata, 2,000 bubur lambuk diedarkan kepada pengunjung Pusat Beli-Belah Datum Jelatek, masjid, penduduk setempat, anak yatim dan pihak berkuasa tempatan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat kepada masyarakat.
“Sempena keberkatan bulan Ramadan yang mulia ini, DatumCorp berasa terpanggil untuk berkongsi rezeki dengan orang awam menerusi program ini di mana kami warga kerja DatumCorp dari pelbagai jawatan bermuafakat gotong-royong menyediakan bahan dan memasak sendiri empat periuk bubur lambuk yang diketuai oleh chef dari Temu Jelatek bermula 8 pagi tadi.
“Dengan sumbangan bubur lambuk ini diharap ia dapat mengeratkan silaturahim warga DatumCorp dengan masyarakat sekitar,” katanya.